atikahnufail

Pernah anda ditanya atau dengar dimana-mana soalan sedemikian?
Kalau pernah, apakah yang anda jawab?
Soalan ini merupakan soalan yang ditanya oleh seorang kakak semasa kuliah maghrib tadi, di surau kolej kediaman kepada yang hadir.
Perkara pertama yang terlintas dalam fikiran saya ialah saya telah menunaikan kewajipan terhadap ALLAH s.w.t. Tetapi samada diterima atau tidak saya tidak mengetahuinya dan kita sebagai hambaNYA mestilah cuba melakukan yang terbaik.

Sembahyang merupakan perhubungan kita dengan ALLAH s.w.t secara langsung dan dalam sehari kita wajib bertemu atau berhubung dengan pencipta kita sebanyak lima kali. Kita tidak melupakan pencipta kita walaupun mungkin sibuk dengan hal duniawi.
Solat juga merupakan kewajipan kita sebagai umat islam dan merupakan pertama yang akan dihisab oleh ALLAH s.w.t.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”


Mungkin anda pernah tertanya-tanya kenapa masih ada lagi tanpa segan-silu melakukan perkara mungkar atau maksiat walaupun mereka solat?
Solat yang dilakukan tanpa keikhlasan kepada ALLAH s.w.t atau melakukannya sambil lewa tidak dapat merasai nikmat ketenangan dan ketakwaan kepada ALLAH s.w.t.
Sesungguhnya sembahyang dalam erti kata yang sebenar ialah sembahyang yang dikerjakan dengan hati yang khusyuk dan menghayati setiap apa yang dibaca.
Usaha kita ke arah untuk khusyuk dalam solat semestinya dengan pencarian dan penambahan ilmu mengenai solat.

Saya pernah terbaca mengenai keadaan sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. bersolat, mereka begitu khusyuk dan menghayati sehingga ada yang menangis,mengigil,pucat dan pengsan ketika solat. Itulah kehebatan sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w yang kita cuba jadikan contoh dan teladan dalam kehidupan kita.

Kita perlulah sentiasa berusaha untuk menyempurnakan solat supaya solat kita ini diterima oleh ALLAH s.w.t.

MyEm0.Com
0 Responses

Post a Comment